Dalam keadaan yang tampak tenang, ada sedikit huru hara yang tercetus dibeberapa tempat. Dalam banyak hal yang tercetus banyaknya atas salah faham, permasalahan komunikasi, kurangnya pengetahuan atas sesetengah perkara, kurangnya kefahaman atas sesetengah perkara dan lain lain.
Percayalah, tiada yang bersedia dalam menghadapi situasi sekarang. Semua pun terkesan atas keadaan ini baik yang nampak zahir di mata dan yang terlindung disebalik yang terzahir. Ada yang mungkin berduka kerana tidak dapat pulang bertemu keluarga mengikut kebiasaanya membuatkan dia tertekan. Ada yang tidak dapat keluar bekerja maka dia tertekan kerana tiada pendapatan untuk dia. Namun apa yang dialami dan dirasa oleh setiap individu itu berbeza beza. Ini dipengaruhi oleh cara setiap mereka dibesarkan, pengalaman yang mereka lalui, persekitaran mereka, cara fikir mereka dan lain lain lagi. Maka marilah kita CUBA untuk menghormati satu sama lain. Janganlah kita menghukum orang atas apa yang mereka lakukan, sebaliknya marilah kita CUBA bersangka baik dalam segala hal yang berlaku. Andai ada kesalahan yang nampak tegurlah, tapi janganlah kita meletakkan kesalahan itu atas orang lain lagi. Benar kerana nila setitik rosak susu sebelanga, tapi andai kita fikir semula setiap tindakan yang dilakukan oleh individu itu atas kehendaknya. Maka siapalah kita untuk menghukum mereka yang berkait dengan individu itu. Dia buat salah, maka hukum kesalahan yang DIA lakukan dan ajarlah agar tidak berulang perkara tersebut. Kita tak tahu apa yang dia tahu dan apa yang dialami, oleh yang demikian ajar dan maklumkan agar dia tahu.
Susah untuk kita mengubah persepsi dan cara fikir kerana setiap dari kita dibesarkan dengan gaya yang tersendiri. Maka setiap dari kita mempunyai cara fikir yang tersendiri dan berbeza. Dalam 1 kelas yang diajar ilmu oleh seorang guru, setiap dari pelajar mempunyai kefahaman dan cara faham yang berbeza. Marilah kita cuba meraikan cara fikir yang berbeza ini dengan tidak menyalahkan satu sama lain bila mana tercetus konflik.
Dalam keadaan sekarang ini, tiada yang telah bersedia dalam menghadapinya. Benar ada sesetengah dari kita yang sudah biasa bersendiri atau berjauhan dengan keluarga. Mereka juga turut terkesan seperti mana mereka yang sering berjumpa dengan keluarga ataupun rakan rakan. Pada zahir mereka mungkin nampak elok, tetapi setiap isi hati mereka adalah antara mereka dan tuhan. Perasaan setiap individu itu adalah suatu yang rahsia atas dirinya sendiri. Boleh dikongsi antara dia dan individu lain, namun apa yang DIA RASA dan apa yang ORANG FAHAM tidaklah sama.
Maka marilah kita bersyukur atas segala yang telah direzekikan ke atas kita. Rezeki bertemu ramadhan dalam keadaan yang kita tidak biasa ini mungkin persediaan untuk perkara yang mendatang yang mungkin lebih mencabar. Syukur, masih ada makan walau mungkin sikit atau berbeza dengan kebiasaan. Syukur masih dapat berhubung dengan keluarga walau hanya sekadar mendengar suara atau membaca pesanan. Syukur kita masih boleh berdoa atas kesejahteraan yang telah direzekikan keatas kita.
Alhamdulillah Ramadhan telah tiba. Marilah kita teruskan usaha kita Ramadhan ini. In Sha Allah setiap yang berlaku itu adalah rezeki yang dirahsiakan dari kita.
-hingga lain waktu-
