Awal tahun ibu maklum nak pi umrah waktu hujung ramadhan dan sambut syawal di makkah. Ain putuskan untuk turut kakaknya Nadirah beraya di kampung suami, Hanif. Maka tinggal budak ini untuk membuat keputusan beraya di mana. Maka bertanya dengan bapa kalau boleh turut raya di kampung dan raya haji baru pulang ke semenanjung pula. Maka bapa usulkan untuk teman ibu sekiranya cukup peruntukan. Selepas sedikit perbincangan, keputusan di ambil untuk teman ibu mengerjakan umrah. Selepas beberapa ketika, maka tibalah waktu untuk perjalanan.
25 Mei adalah penerbangan daripada Sandakan ke Kuala Lumpur. 27 Mei adalah penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Madinah. Sekitar jam 11 kami bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Penerbangan ke Madinah berlepas pada jam 3 dan mengambil masa sekitar 7 jam untuk tiba di Riyadh. Di Lapangan Terbang Riyadh, kami duduk di dalam kapal terbang sahaja sementara anggota penerbangan membuat pertukaran syif. Sekitar jam 630 waktu tempatan (Riyadh), kapal berlepas ke Madinah. Kami berbuka puasa sewaktu kapal masih dalam tempoh mendaki dari saat berlepas. Sewaktu melihat jam tangan, baru sedar waktu di Malaysia adalah jam 1130 malam. Hampir 18 jam berpuasa untuk hari tersebut dan Alhamdulillah tiada masalah sepanjang perjalanan dan tempoh berpuasa.
Kami tiba di penginapan kami di Madinah sekitar jam 11 malam, sewaktu jemaah solat sunat di masjid. Kami dibahagikan kepada bilik berasingan mengikut pakej yang didaftarkan. Maka di Madinah sebilik dengan Abang Zulkefle. Selepas menjamah sedikit makanan, kami naik ke bilik masing-masing. Abang Le mengambil peluang untuk tidur seketika sebelum ke masjid kemudiannya. Saya mengambil pendekatan untuk solat fardu dan kemudiannya tidur. Mungkin sebab penat dan perbezaan waktu, terjaga semula jam 2. Selepas bersiap turun ke dewan makan untuk sahur. Pihak Hotel menyediakan makanan untuk sahur dari jam 2 pagi sehingga azan subuh dan makanan iftar dari azan maghrib sehingga azan isyak.
Sedikit perbezaan dengan tradisi di Malaysia, di Saudi akan ada 2 kali azan sewaktu subuh. Pertama sekitar jam 3 dan yang kedua adalah waktu subuh. Selain itu, azan isyak dilewatkan ke jam 9 untuk memberi peluang orang ramai makan selepas solat maghrib. Selepas solat isyak, imam akan solat sunat (yang kita panggil solat tarawih) sehingga sekitar jam 12 dan sambung semula jam 1 sehingga sekitar jam 230 (yang kita panggil qiamulail).
Sewaktu sahur terjumpa semula dengan Abang Le. Rupanya beliau ke masjid sekitar jam 12 dan balik semula untuk sahur. Selepas berjanji dengan ibu untuk mencari kad SIM selepas subuh, saya mengikut Abang Le ke masjid untuk solat subuh. Selepas kembali ke penginapan usai solat, Abang Le terus naik ke bilik untuk berehat. Saya dan ibu berjalan sekitar hotel untuk mencari kad SIM. Kami kemudiannya membeli kad SIM dan pakej dari syarikat Lebara. 3GB data internet berharga SAR 45.
Sekitar jam 600, kami dikumpulkan di lobi hotel untuk melawat kawasan sekitar masjid. Kami melintasi kuburan Al-Baqi sebelum dibawa ke pintu Salam. Kami kemudiannya dilepaskan untuk sama ada terus memasuki pintu Salam untuk terus ke Makam Nabi, atau memasuki pintu Rahma untuk masuk ke Raudhah sebelum ke Makam Nabi. Mungkin sebab ramadhan, bilang jemaah di masjid sangat ramai dan sesak terutama jemaah yang mau masuk ke Raudhah. Pihak penjaga masjid membuat memecahkan jemaah kepada beberapa kumpulan dan hanya membenarkan jemaah masuk dalam kumpulan kecil untuk mengelakkan kesesakan di dalam Raudhah. Banyakkan la bersabar dan berselawat, kerana seandainya tak cukup sabar boleh bawa bergaduh jadinya...kalau bukan dengan jemaah mungkin dengan penjaga masjid. Selebihnya kami menjalankan aktiviti sendiri.
Selepas solat zuhur, mengambil peluang untuk menjelajah bahagian dalam dan luar masjid. Jemaah masjid dibenarkan untuk berada di dalam dan luar masjid. Ada sebahagian mereka membawa bersama beg pakaian bersama dan tidur di sekitar masjid. Pemandangan yang berbeza dan membawa perasaan yang berbeza. Selepas solat asar, petugas masjid mula membentang alas dan mengatur makanan di baris saf solat untuk iftar. Maka mengambil peluang untuk menunggu iftar di masjid. Sebab tahu tak dapat nak makan habis yogurt, maka bagi kepada jemaah lain yang pandai makan. mereka mencampur yugort yang diberi dengan kurma, kacang dan perasa dari paket yang diberi. lebih kepada ikut kesesuaian sendiri nak tambah perasa. Turut diberikan air zam-zam dan teh herba arab.
 |
| Abang Zulkefle...Kijal, Terengganu |
 |
| Iftar |
29 Mei kami melawat sekitar Madinah. Antara tempat yang di lawati adalah Masjid Quba', ladang kurma dan Bukit Uhud. Turut melintasi Masjid Bilal dan Masjid Jumaah.
 |
| Masjid Quba |
 |
| Masjid Quba |
 |
| Bukit Uhud |
 |
| Bahagian bumbung Masjid Nabawi |
 |
| Pintu masuk masjid |
 |
| Ruang solat |
30 Mei, jam 300 pagi kami bergerak meninggalkan Madinah menuju Masjid Bir Ali. Selepas melengkapkan ihram, kami memasuki masjid untuk solat subuh sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah. Kami memasuki Tanah Haram sekitar jam 11 pagi. Sekitar jam 3 kami bergerak memasuki Masjid Al-Haram untuk melengkapkan rukun Umrah. Mendekati waktu solat fardu, bilangan jemaah yang memasuki masjid bertambah, pengawal hanya membenarkan jemaah yang memakai ihram untuk melengkapkan rukun Umrah memasuki ruangan bawah menghampiri Kaabah. Selesai melengkapkan rukun Umrah kami kembali ke penginapan untuk berehat dan bersiap untuk iftar.
31 Mei, aktiviti bebas memandangkan hari jumaat. bilangan Jemaah sangat ramai sehinggakan ke ruang Sai pun dipenuhi jemaah untuk solat jumaat seawal jam 10 pagi.
 |
| Pintu Raja Abdullah |
 |
| Suasana hujan berhampiran Pintu Umrah |
1 Jun, kami melawat beberapa kawasan sekitar Makkah. Antara tempat yang kami lawati adalah Bukit Al-Thur, Padang Arafah, Bukit Rahmah, Mina dan Hudaibiyah. Mereka yang ingin menunaikan Umrah menukar pakaian kepada Ihram di Masjid Hudaibiyah.
 |
| Arafah |
2 Jun, kami melawat ke Masjid Ja'ranah
3 Jun, dibawa melawat Masjid Tan'aim
 |
| Masjid Tan.aim |
4 Jun, kami bergerak meninggalkan Tanah Haram sekitar jam 10 pagi menuju Jeddah bagi mengelakkan kesesakkan walaupun penerbangan pulang ke Malaysia adalah jam 4 pagi keesokkan hari. Kami tiba di Jeddah sekitar jam 12 dan menginap seketika untuk berehat sambil menunggu jam 10 malam untuk ke Lapangan Terbang. Akibat kesesakkan, kami tiba di Lapangan Terbang Jeddah menghampiri jam 12 malam. Kepadatan jemaah yang meninggalkan Tanah Haram sangat tinggi, sehinggakan urusan pendaftaran tiket dan bagasi selesai menghampiri jam 3 pagi, 5 Jun. Kami terbang meninggalkan Jeddah sekitar jam 430 pagi (Waktu Jeddah) dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar jam 530 petang (Waktu Malaysia).
 |
| Sarapan pagi dalam kapal |
 |
| Bila budak sebelah membuatkan kau teringat dekat adik bulat kau |
Setiba di rumah sudah menghampiri jam 10 malam. Mungkin kerana kurang tidur, tertidur semula selepas subuh dan hanya bangun menghampiri jam 7 pagi. Selepas bersiap, bergerak menuju Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan ke Sandakan. Itu merupakan penutup kepada percutian kali ini.
Rahsia yang tersembunyi.
1. Dalam keadaan yang sangat menekan, kita akan mula melihat perangai sebenar orang lain dan diri sendiri. Adakah kita akan menjadi sebahagian dari yang berkongsi ruang yang kecil untuk mereka yang ingin solat atau menjadi sebahagian yang mementingkan ruangan sendiri. Adakah kita akan mempersoal setiap perkara yang berlaku ke atas kita, atau cuba menerima setiapnya dengan mempertimbangkan bahawa ada rezeki untuk setiap kejadian.
2. Rezeki adalah apa sahaja yang memberi manfaat. Boleh jadi kita adalah penyampai rezeki kepada sebahagian mereka yang lain, dan mereka itu adalah penyampai rezeki kepada kita. jadi berbuat la baik bila berpeluang. Mungkin dengan berkongsi segelas air dengan orang asing saat kita dibawah panas, kita lebih ikhlas dari masa kita belanja kawan makan.
3. Ibadah adalah apa yang di niat kepada-Nya. Sekiranya diberi peluang, maka selitkan dalam ruang masa yang diberi dengan ibadah. Sementara main telefon pun boleh selitkan doa untuk mereka yang sedang dihubungi.
4. Kita adalah apa yang kita niat dan harapkan. Semasa Ramadhan, Tanah Haram dipenuhi dengan jemaah yang mencari redha-Nya dalam ruang masa yang singkat yang tersedia. Maka niatkanlah mencari redha dalam apa jua keadaan. Mungkin dengan menempuh kesesakan jemaah dan bertahan dibawah mentari itu lebih baik untuk kita.
Petua dan cara
1. Untuk mereka yang bercadang membuat umrah semasa Ramadhan, berbukalah sekiranya anda tidak berupaya untuk berpuasa sepanjang perjalanan. Perbezaan masa semasa perjalanan mungkin boleh memudaratkan, lebih lagi sekiranya anda perlu mengambil ubatan yang kritikal seperti insulin.
2. Cuaca yang panas dan kering di Saudi mungkin boleh memudaratkan. Sediakanlah payung atau penutup kepala. Macam saya lebih selesa bertopi banding kopiah kerana agak silau wakttu tengahari di sana. Suhu boleh mencapai 49 darjah celsius di Makkah.
3. Untuk mereka yang ingin beri'ktikaf di dalam Masjid Haram, sesuai untuk membawa botol penyembur air untuk mengambil wuduk sekiranya terbatal. Ini kerana tandas dan tempat mengambil wuduk di masjid haram berada di luar bangunan masjid, agaak jauh dan kebiasaanya juga sesak terutama menghampiri waktu solat fardu. Juga digalakkan membawa sejadah atau kain untuk dijadikan alas, seandainya perlu.
4. Sewaktu ke Masjid, digalakkan untuk membawa beg penyimpan kasut / selipar. Ruang dalam masjid yang agak luas memungkinkan anda untuk masuk dan keluar melalui pintu yang berbeza. terdapat juga rak kecil untuk menyimpan kasut dibahagian dalam masjid. Selain itu pastikan bawa Tag pengenalan yang diberikan petugas dan kad nama penginapan. Sekiranya tersesat (macam saya), boleh tunjuk untuk dapatkan panduan balikke penginapan.
5. Tidak digalakkan untuk membawa wang yang banyak sewaktu berjalan. Ini mengelakkan kehilangan. Lebih selamat disimpan di dalam penginapan. Sebahagian mereka menyediakan peti keselamatan di dalam bilik.
6. Sekiranya ada yang ingin memberi wakaf, berbincanglah dengan pihak petugas. Mereka lebih memahami keadaan dan keperluan semasa di sana. Contoh di Madinah, lebih sesuai untuk membeli kerusi lipat untuk jemaah berbanding Al-Quran yang telah tersedia.
-Taqabbala Allahu minna wa min kum-
 |
| Peneman setia kali ini |