Friday, July 24, 2020

Kundasang dari sudut yang berbeza

Ini merupakan percubaan pertama menunggang motorsikal keluar daerah Sandakan. Perjalanan dirancang bersama dengan bapa walaupun berjalan sendiri. Ini kerana bapa pernah menunggang motorsikal sehingga Lahad Datu, setakat yang dikenali hanya bapa yang ada pengalaman. 

Perjalanan bermula jam 730 pagi dari rumah bapa, serentak dengan perjalanan bapa pi kerja. Sebelum keluar Sandakan, isi minyak motor di Petronas batu 8 menghala ke Kota Kinabalu. Perjalanan lancar diawal pagi kerana kurang lori besar sehingga ke Petronas Checkpoint Sandakan-Lahad Datu-Kota Kinabalu. Di Petronas Checkpoint sekali lagi isi minyak. Bingung orang kaunter sebab isi sikit sangat, terus bagi alasan takut nda dapat sampai Telupid. Selesai mengisi minyak dan maklumkan lokasi kepada bapa, perjalanan diteruskan. Mengikut persetujuan, akan maklumkan bapa setiap lokasi berhenti.

Perjalanan ke Telupid agak mencabar kerana mula terasa bahang matahari. Sampai di Checkpoint Sapi-Nangoh kena tahan. Selepas kena catat nombor pendaftaran, perjalanan diteruskan tapi nda jauh berhenti lagi sebab terasa sakit bahu.
Selepas berehat seketika dan kemaskini lokasi, perjalanan diteruskan lagi. Shell Telupid menjadi lokasi hentian rehat dan mengisi minyak seterusnya. Kesilapan teknikal berlaku semasa isi minyak, melimpah sebab kurang fokus melihat minyak dalam tangki. Shell Telupid lengkap dengan kedai serbaneka, tandas, surau dan mesin wang (ATM). Perjalanan diteruskan menuju Ranau. 
Bukit Taviu menjadi tempat berhenti rehat diantara Telupid-Ranau kerana kawasan yang rata dan redup. Kebiasaannya ramai orang berhenti disini untuk mengambil air bukit tetapi untuk masa sekarang kawasan ini lengang dan pondok untuk duduk berehat juga dilingkari tali untuk menghalang orang duduk. Hentian rehat berikutnya merupakan Petronas Kg Kilimu, Ranau. Sepanjang perjalanan dari Bukit Taviu ke Petronas Kilimu menunjukkan tanda kawasan tersebut baru lepas hujan kerana jalan raya basah disepanjang perjalanan. Sewaktu di Petronas Kilimu hujan renyai untuk seketika sahaja. Selepas mengisi minyak dan berehat, perjalanan diteruskan ke Kundasang. Pendakian kali ini agak mencabar kerana terdapat beberapa buah bus dan lori besar di jalan raya. Sewaktu tiba di Pekan Kundasang, hujan turun seketika sewaktu makan di Sayap Ayam Madu Wak Ali. Selepas hujan reda perjalanan ke penginapan diteruskan, maka sekitar jam 2 saya tiba di Bayu Senja Lodge, Kampung Dumpiring.
Pandangan daripada pintu bilik
Bangunan tempat tinggal yang selesa
mini golf
Pemandangan dari ruang legar
Black Knight yang cedera ringan
Laluan masuk ke penginapan
Kawasan letak kenderaan dibelakang penginapan
Puncak Gunung Kinabalu
Bayu Senja Lodge terletak di kampung Dumpiring, jalan menuju Zen Garden Resort. Laluan masuk agak mencabar untuk motor kerana terdapat bahagian jalan yang berbatu kasar dan berlopak akibat dari hujan. Lokasi agak tersorok dari pemandangan jalan membuatkan lokasi ini tenang dari gangguan bunyi kenderaan lalu lintas. Sini terdapat 3 jenis bilik disediakan, Standard Queen or Twin Single Bed, 1 Queen + 2 Single Bed dan 1 Queen + 3 Single Bed. Ruang dalam bilik cukup selesa dan disertakan dengan pancuran air panas untuk mandi. Turut disediakan ruang dapur untuk memasak dan makan dibahagian dalam bangunan. Pemandangan menghadap kawasan kampung dan kawasan tanaman. Pemandangan Gunung Kinabalu agak terlindung, tapi boleh naik ke jalan untuk melihat Gunung Kinabalu.
Sekitar jam 5 petang hujan mula turun dan berterusan sehingga ke malam.
Waktu pagi didatangi oleh seekor kucing hitam yang kesejukan, mencari sumber haba untuk memanaskan badan.
Selain itu turut mendapat peluang untuk berbual seketika dengan tuan punya penginapan. Walaupun terdapat beberapa kekangan, mereka mengambil inisiatif dan peluang untuk memastikan operasi mereka selamat dan selesa kepada pengunjung semula. Untuk masa ini mereka hanya menawarkan penginapan, tetapi sekiranya pengunjung berminat untuk barbeku boleh maklumkan untuk penyediaan tempat bakar.

Sekitar jam 9, perjalanan pulang dimulakan kerana mahu sampai sekitar jam 4 semula di Sandakan. Perjalanan pulang sedikit mencabar kerana kali ini terdapat lebih banyak kenderaan berat di jalan dan hujan renyai di sekitar telupid dan Sandakan sewaktu perjalanan. 

Perjalanan selama hampir 6 jam agak menguji fizikal dan mental. Namun memberi peluang untuk mendapatkan pemandangan yang berbeza daripada kebiasaan.

Untuk maklumat tambahan bagi Bayu Senja Lodge boleh rujuk kundasanglodge

Saturday, July 11, 2020

Tawai, lawatan semula

Selepas 7 tahun, hari ini berpeluang untuk melawat semula Air Terjun Tawai. (Lawatan pertama: tawai.html)

Perjalanan kali ini bermula sekitar jam 5 pagi dari Sandakan dan melibatkan 20 orang anggota. Kesemua anggota tiba di Tawai Rainforest Camp (TRC) sekitar jam 740 pagi, lewat dari masa yang disarankan iaitu jam 7 pagi. Dari TRC En.A Eddi membawa kami ke tempat permulaan pendakian dengan menggunakan lori, dan dalam perjalanan kami mengambil Wan, seorang lagi pemandu arah. Perjalanan sekitar 18 km mengambil masa sekitar 30 minit melalui jalan aspal dan kemudian jalan gravel.
credit: fernandez @freakynandez, pauline ho ping ping
credit: fernandez @freakynandez, pauline ho ping ping
Untuk perjalanan kali ini, setiap orang dibekalkan nasi kuning, roti krim dan pisang yang disediakan dengan bantuan kak shikin.

Abang jumat mengalami sedikit kesukaran dipermulaan pendakian yang kemudian membawa kepada beliau direhatkan dari meneruskan perjalanan ke air terjun.
credit: pauline ho ping ping
kawasan yang boleh dijadikan tempat berehat seketika
laluan yang agak curam
Sekitar jam 12 kami memulakan perjalanan keluar kerana hari menunjukkan tanda akan hujan. Hujan turun untuk seketika semasa dalam perjalanan keluar, mengakibatkan laluan menjadi lebih licin. Anggota terakhir sampai semula di tempat permulaan pada jam 240 petang.
Kawasan mandi di TRC masih ditutup dan dijangka akan dibuka semula selepas 15 Julai ini, bergantung kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Maka kami hanya membersihkan badan dan menukar pakaian di tandas yang disediakan. Turut disediakan surau dan tempat mandi pancuran terbuka.

Sedikit maklumat mengenai TRC. Terletak berhampiran dengan pekan telupid, dilaluan Telupid-Tongod. Dibuka untuk orang awam bagi aktiviti hiking ke Air Terjun Tawai, mandi sungai dan berkhemah. Antara kemudahan yang disediakan adalah, tempat berkhemah, rumah tumpang, tandas, tempat letak kereta dan dewan terbuka. Maklumat lanjut boleh rujuk di telupid/tawai-rainforest-camp/